mytheory15
mytheory15
Membudayakan Media
Kita ini kompleks benar. Kita ini bukan-bukan sangat. Macam-macam kita nak, dan macam-macam kita tak hendak. Kita ini memilih.
Salahkah?
Tak salah. Kerana manusia ini kalau mengikut saja, akur saja, jadilah dia tak berfikir. Bila dia tak berfikir, semacam serupalah pula dia dengan tak berakal. Bila dah tak berakal, apa bezanya dengan haiwan?
..........................
Dua minggu ini banyak isu baru. Isu baru tapi halnya dah lama. Yalah, kan kita ini hidup dalam keadaan suka kecoh-kecoh barulah nak sedar. Jadi yang kecoh-kecoh ini memang baru lagi, tapi harapnya kesedaran itu dah lama ada.
Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Shah Alam atau nama pendeknya Bukit Cherakah adalah hal lapuk. Tapi ia isu baru kerana selama ini ia tak pernah dibising-bising dan didentam-dentum. Sekadar khabar angin saja. Bak kata Sanusi Junid, ia bukan Kelab Golf Selangor. Taman ini adalah taman pertanian, untuk petani-petani, pelaut-pelaut. Ia tak glamor, maka jangan ia dibesar-besar.
Kenapa tiba-tiba ia jadi besar? Kenapa Khir Toyo sebelum ini taknak bercakap tentang taman ini, Pak Lah pun semacam tak tahu saja? KERANA ITULAH FUNGSI MEDIA MALAYSIA.
Media Malaysia bukan macam media barat yang bercakap bab demokrasi atau autokrasi. Ia tak bercakap pasal pelembagaan negara atau undang-undang apa. Media kita, wajah kita. Itulah slogan saya untuk menggambarkan perihal media. Media Malaysia adalah orang tengah antara rakyat dan pemimpin. Antara dewan parlimen YANG MULIA dan tanah rakyat yang hina-dina. Media adalah medium itu, adalah wasilah itu dan adalah yang menentukan wujudnya hubungan antara yang di atas dan yang di bawah.
Sebagai manusia yang berfikir, kita wajib sedar akan hakikat ini. Hakikat bahawa sistem pilihanraya negara kita ini, perwakilan Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen di negara kita ini bukanlah medium pemimpin dan rakyat. Walaupun itulah tugas kedua-dua dewan yang mulia itu sebenanya. Walaupun kedua-dua dewan itu sebenarnya untuk membolehkan suara orang bawah didengar untuk mereka yang membuat perancangan dan tindakan bagi negara, dan bagi membolehkan saranan dan tindakan orang-orang atas ini pula diketahui oleh rakyat jelata. Itulah tugas sebenar mereka, bukan setakat berdebat yang entah apa-apa. Dan untuk siapa-siapa..
Dalam budaya kita, media adalah mediumnya. Ini budaya dunia membangun, budaya negara dunia ketiga. Perluah kita sedar itu, perlulah kita faham tentang itu. Jika media tidak mengatakan apa-apa, maka RAKYAT TIDAK MENGATAKAN APA-APA. Jika media tidak melaporkan apa-apa, MAKA KERAJAAN TIDAK PERNAH BERBUAT APA-APA. Itu fahamannya, itulah kesimpulannya walaupun yang sebenarnya tidak begitu.
Rakyat Malaysia perlu belajar memanfaatkan media. Walaupun ia bermakna fungsi dua dewan yang mulia itu akan kekal kaku, namun inilah tapak perubahan. KLCC tak terbina dengan jambatan tengahnya tapi dengan dua menaranya. Mulalah pada yang ada, kita siapkan dengan yang mustahil.
Saya nampak daripada perkembangan ini, media menjadi lebih bertanggungjawab. Soalan-soalan di Utusan Melayu contohnya, tak lagi berbau mengampu tetapi lebih menjawab persoalan di hati. Ia taklah lagi sampai ke tahap yang menjawab dengan jelas, tapi kita pun faham yang menteri-menteri pun ada rasa marah-marah atau kecewa. Tak mengapa lagilah. Kerana perubahan perlulah teratur supaya tak mengejutkan.
Membudayakan media adalah menjadikan media wasilah kita. Jalan kita, medium kita atau alat kita. Sikap memboikot yang pernah disarankan suatu masa dahulu sudah tidak sesuai lagi untuk masa sekarang, tapi perlu diubah dengan sikap mengawal. Jadikan kita tuan media, bukannya media mempertuankan kita. Jika kita bosan dengan akhbar-akhbar yang hanya tahu memberi kenyataan si polan bin si plan itu, walaupun kenyataannya amat dungu sekali, maka bertindak supaya media kita kritikal terhadap itu.
Media mempunyai banyak ruang untuk mengetahui reaksi pembaca. Ada surat daripada pembaca, ada ruangan kepada editor malahan artikel-artikel dalam akhbar (belum ada slot dalam televisyen atau radio) yang dihasilkan oleh pembaca.
Dengan kesedaran bahawa media adalah orang tengah antara rakyat dan kerajaan, serta tahu bahawa media punya pengaruh besar pada masyarakat, maka wajar kita memanfaatkan media. Ini bukan lagi zaman untuk kita mengamuk, merusuh apabila tidak puas hati, tetapi ini zaman berbincang dan berdialog. Gunakan peluang, kritikalkan segala kemudahan asalkan tidak melanggar perintah tuhan.
Kes Taman Pertanian adalah contoh biasa bagaimana kerajaan telah memberi respons segera terhadap pemintaan rakyat apabila mendapat liputan media. Rakyat-rakyat lain yang budaya mereka adalah disuap juga telah disuap mengenai wujudnya sebuah taman bernama sedemikian sedemikian. Maka dari sini muncul gesaan untuk bertindak yang kuat kepada pihak berwajib.
Kes PTPTN adalah contoh agak luar biasa bagaimana media menolong kerajaan dalam meminta rakyat membuat respons terus. Penghutang-penghutang PTPTN yang 'buat-buat lupa' dengan adanya berita-berita. Walaupun secara umumnya media Malaysia memang bertindak sebagai alat kerajaan, namun untuk kali yang jarangnya media bertindak secara langsung dalam menunjukkan pengaruhnya.
Semua rakyat yang sedar tahu akan besarnya peranan media. Jika ada yang yakin bahawa media Malaysia dikawal parti pemerintah, maka inilah saatnya untuk membolehkan kawalan itu distabilkan dengan kawalan daripada rakyat. Inilah masa dan saatnya untuk kita mula rajin melaporkan, menulis dan mencanangkan ketidakpuashatian kita dalam media. Bukan lagi sekadar 'aliran berbau kiri' ini dalam 'media-media kiri' tetapi dalam media-media rasmi.
..........................
Berbahasalah dalam bahasa paling tenang tetapi dengan isi paling benar dan maksud paling tajam. Manusia mana suka melihat orang lain ditindas, manusia mana suka digelar zalim.
NTV 7 adalah contoh sistem penyiaran yang berani. Walaupun kerap juga berani mereka adalah bukan-bukan. KOSMO adalah simbolik bahawa Utusan sanggup berubah. Walaupun perubahannya mungkin pada gaya sahaja. Lebih daripada itu, Pak Lah setakat ini mengotakan janji-janjinya untuk mengembalikan hak selamat dan berserah pada tuhan itu. Walau mungkin konsep islam hadhari itu bahaya jika tidak difahami daripada sudut praktikalnya sahaja. Kerana ketuhanan dan ibadah itu tidak ada konservatif dan moden.
Hujah di atas adalah alasan untuk kita juga berubah. MENGGUNAKAN MANFAAT DAN BERTINDAK KREATIF. Kerapkali pemikir-pemikir dan mereka-mereka yang menjadi penjana masyarakat terlalu kritis hingga ruang yang luas jadi sempit dan peluang-peluang yang banyak tak dapat dilihat.
Kreatif dalam membudayakan media adalah simbol perubahan rakyat. Sebagai contohnya, kita boleh menyuarakan idea-idea baru dalam bahasa yang berkobar-kobar dalam ruangan surat pembaca, boleh menghantar karya-karya sastera yang indah-indah di ruangan sastera atau mengisi ruang-ruang artikel dengan falsafah hidup yang benar.
Membudayakan media mungkin hanya boleh bermula daripada akhbar. Namun ia pasti membawa tempiasnya kepada bentuk media yang lain. Mana tahu suatu hari nanti telenova mengenai perjuangan rakyat Kerpan (yang diarahkan oleh Yasmin, skrip oleh Hishamuddin dan diterbitkan pula oleh Kementerian Penerangan) mendapat hits tertinggi di televisyen tempatan. Manalah tahu.
Kerana jika rakyat boleh berbuat salah atas alasan mereka adalah manusia, kerajaan juga boleh berbuat salah atas alasan yang sama. Kerana mereka manusia.
Masa itu kita pasti saling sayang-menyayangi. Kerana kita tahu dua-dua pun boleh buat salah dan saling perlu-memerlukan. Harapnya ini bukan dongeng moden.
Oh ya, jadi mari kita sama-sama berdoa. Dan berusaha :)
2 Comments:
Enjoyed a lot!
»
I have been looking for sites like this for a long time. Thank you! » »
Post a Comment
<< Home